Thursday, November 4, 2010

doa orang teraniaya sangat makbul

marilah kita sama-sama renungkan dalil yang menguatkan lagi pernyataan di di atas....


Dari Ibn Abbas r.a., katanya: Rasulullah s.a.w bersabda kepada Mu'az bin Jabal ketika Baginda mengutusnya ke negeri Yaman:  "Engkau wahai Mu'az akan sampai kepada suatu kaum (yang terdapat di antaranya golongan) ahli kitab, kemudian apabila engkau menemui mereka, maka serukanlah mereka supaya mengucap dua kalimah syahadat dengan meyakini bahawa sesungguhnya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya Nabi Muhammad ialah pesuruh Allah.  Jika mereka mematuhi seruanmu itu, maka khabarkanlah bahawa Allah Taala telah fardhukan atas mereka lima sembahyang pada tiap-tiap hari dan malamnya. Jika mereka mematuhi seruan mu itu, maka khabarkanlah bahawa Allah Taala telah fardhukan atas mereka zakat yang diambil daripada orang-orang mereka yang kaya untuk diberikan kepada orang-orang mereka yang miskin.  Jika mereka mematuhi seruanmu itu. Maka awaslah (semasa mengambil zakat) janganlah engkau mengambil harta benda mereka yang sangat-sangat bernilai dan jagalah dirimu daripada (berlaku zalim supaya engkau tidak ditimpa bencana di sebabkan) doa orang-orang yang teraniaya, kerana doanya itu (tetap makbul), tidak ada sesuatu pun yang dapat menghalangnya daripada dikabulkan oleh Allah. "

(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari)

Kesimpulan hadith ini, antara lain:

(1) Semasa menyiarkan Islam, hendaklah menerangkan lebih dahulu perkara yang asasi yang tersimpul dalam dua kalimah syahadat. 

(2) Cara penyampaian dakwah, hendaklah menerangkan satu masalah dahulu, setelah mereka memahaminya, baharulah ia menerangkan masalah yang lain.

(3) Orang-orang Islam yang berharta diwajibkan mengeluarkan zakat hartanya untuk keperluan orang-orang Islam yang miskin dalam masyarakatnya.

(4) Pemerintah Islamiah yang bertanggungjawab memungut zakat dengan perantaraan pegawai-pegawai dan 'amil-'amilnya, kerana dengan cara yang demikian, zakat yang menjadi salah satu rukun Islam untuk membentuk masyarakat adil - dapat dipungut dengan sempurna dan dibahagikan dengan sempurna. 

(5) Zakat yang dipungut dalam sebuah wilayah hendaklah dibahagikan kepada orang-orang yang berhak menerimanya dalam wilayah itu juga, tidak boleh dibawa ke tempat lain.

(6) Semasa memungut zakat,  'amil-'amil dilarang memilih harta benda yang sangat-sangat bernilai dan mengambilnya sebagai habuan zakat, kerana perbuatan yang demikian sudah tentu akan menimbulkan kemarahan tuan punya harta itu dan dipandang sebagai perbuatan yang zalim. 

(7) Pegawai-pegawai pemerintah diarahkan supaya menjaga diri daripada berlaku zalim kepada rakyat jelata, kerana perbuatan yang demikian bukan sahaja dimurkai Allah dan buruk padahnya bahkan orang yang teraniaya itu pula tidak akan berdiam diri, sekurang-kurangnya ia akan berdoa merayu kepada Allah Azza wa Jalla untuk mendapat pembelaan dan doanya itu sangat makbul.

No comments:

Post a Comment